Isnin, 10 Jun 2013

pasar filipin....

Ikan Bakar Pasar Filipin Kota Kinabalu...





Tahuka anda aspek yang perlu anda ketahui sebelum membeli @ makan di Pasar Filipin Kota Kinabalu pertama anda mestilah bertanya kepada peniaga berapa harga jenis ikan bakar yg mereka jual.. klo x bertanya main makan ja, mmg harganya bleh tahan juga... 

Ni sy nak berkongsi dgn saudara/i semua.. sy pernah makan, ikan putih bakar saiz sederhana, udang bakar,  sotong bakar dan lato (sejenis rumpai laut).. sy dn rakan2 seramai 4 org sahaja yg makan.. tahu jumlah yg sy bayar setelah habis makan d pasar filipin ini dengan makan seafood yg sy terangkan di atas ni rm250, padahal x bnyak mana pn... inilah nasib yg sy terima..hehe...

Sekiranya saudara/i mahu makan di pasar filipin, pastikan anda bertanya harga terlebih dahulu ok..


-sekadar perkongsian- =)







Bermula Tanzimat di dalam pentadbiran Turki Uthmaniyah..

Mari kita sama2 ketahui apa itu Tanzimat dan dan apa kesan dalam tujuannya.....:)


PENDAHULUAN
            Tanzimat bermaksud satu gerakan pembaharuan atau reformasi, penyusunan semula dan pembaik pulih yang dilakukan oleh pemerintah kerajaan Uthmaniyah bermula pada tahun 1839 hingga 1876.[1]  Proses tanzimat ini tidak berlaku secara mendadak sebaliknya ia merupakan kesinambungan daripada usaha pembaharuan yang dibuat oleh Sultan Salim III (1789-1807) dan lanjutan kemajuan yang dilaksanakan oleh Sultan Mahmud II. Gerakan tanzimat atau pembaharuan ini mula dilaksanakan pada tahun 1836 oleh Sultan Abdul Majid yang menggantikan Sultan Mahmud II (1808-1839).[2] Asas kepada pembaharuan yang dilakukan oleh pemerintah Daulah Uthmaniyah ini berteraskan kepada Piagam Hatti Syerif dan Hatti Humayun. Namun begitu, Piagam Hatti Humayun yang diperkenalkan pada tahun 1856 ini telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam institusi kerajaan Daulah Uthmaniyah yang melibatkan aspek pentadbiran, ekonomi, perundangan, pendidikan, agama dan sosial masyarakatnya.[3] Hatti Humayun juga menunjukkan kelemahan yang sangat ketara apabila nilai-nilai Islam tidak selaras dengan pembaharuan yang dijalankan.

PROSES TANZIMAT
Proses tanzimat di dalam Daulah Usmaniyah bermula dengan pengisytiharan Piagam Gulhane atau dikenali Hatti-i Syarif. Piagam ini juga dikenali dengan nama Piagam Kamar Merah yang telah diperkenalkan oleh Sultan Abdul Majid iaitu putera kepada Sultan Mahmud II kerana pengisytiharan piagam dibuat di bilik Sultan Abdul Majid. Piagam ini merupakan proses kedua dalam tanzimat Daulah Usmaniyah yang merupakan kesinambungan daripada pembaharuan yang dilakukan oleh bapanya iaitu Sultan Mahmud II sekitar tahun 1808 hingga 1839.[4] Piagam Gulhane diisytiharkan pada 3 November 1839.Tanzimat ini berlangsung selama dua puluh dua tahun iaitu dari 1839 hingga 1856. [5] Hal ini berikutan cadangan daripada Mustafa Resid Pasya  kepada Sultan Abdul Majid supaya mencari penyelesaian kepada masalah kemerosotan Daulah Usmaniyah. Beliau telah mendapat ilham daripada masyarakat Eropah dalam memajukan negara mereka. Mustafa Resid Pasya merupakan pegawai diplomatik Daulah Usmaniyah yang bertugas di London dan Paris. Di sini dapat dilihat, piagam ini terbentuk kerana terdapat dorongan daripada pembesar dan juga peranan kuasa – kuasa Barat seperti Perancis dan British. [6] Piagam ini menjanjikan keselamatan nyawa, maruah dan harta untuk semua rakyat tanpa mengira agama. Piagam Gulhane melibatkan pembaharuan terhadap sistem pemungutan cukai. Pada 7 Mei 1855, suatu edict telah dikeluarkan iaitu menghapuskan cukai jizyah ke atas orang bukan Islam yang sebelum itu menjadi syarat perlindungan membebaskan mereka daripada perkhidmatan tentera.[7] Pembaharuan juga melibatkan sistem perundangan. Hal ini menekankan bahawa setiap yang bersalah tidak boleh dikenakan hukuman selagi tidak melalui perbicaraan.  Pelanggaran terhadap kehormatan seseorang juga tidak diperkenankan. Hak milik terhadap harta dijamin dan setiap orang mempunyai kebebasan terhadap harta yang dimilikinya.[8] Satu hal yang penting dalam piagam ini adalah adanya ketentuan bahawa peraturan dilakukan untuk semua lapisan masyarakat dan semua golongan agama tanpa ada pengecualian.[9]
            Pada 1856M, Sultan Abdul Majid mengisytiharkan pula Hatti-I Humayun (Piagam Humayun). Piagam Humayun dikeluarkan atas desakan negara-negara Eropah pada Kerajaan Turki Usmani yang pada waktu itu dalam keadaan lemah dan selalu mengalami kekalahan dalam peperangan. Piagam ini merupakan satu pengesahan segala janji yang dibuat melalui Perjanjian Gulhane sebelum itu. Namun sebenarnya, piagam ini telah diilhamkan oleh para perwakilan asing terutamanya Startford Canning kemudiannya oleh Lord Stratford de Redcliffe seorang duta Istanbul. [10] Piagam ini mengandungi pembaharuan terhadap kedudukan orang Eropah dan bukan muslim yang berada di bawah kekuasaan Turki Usmaniyah sehingga tiada lagi perbezaan antara orang Eropah dan rakyat Islam Turki. Hal ini bererti mereka mempunyai hak yang sama dalam hukum.

PEMBAHARUAN DAN KELEMAHAN
PENTADBIRAN
 Perubahan dilakukan dengan mewujudkan beberapa kementerian untuk menyambung kerja-kerja yang dimulakan oleh pemerintah yang sebelumnya. Antara kementerian yang ditubuhkan ialah Kementerian Kerjaya (1839), Kementerian Pelajaran (1857), dan Kementerian Polis (1870).
 Dalam pada itu, Majlis Diraja yang telah ditubuhkan  oleh Sultan Mahmud II sebelum ini juga  diubah menjadi Majlis Tanzimat yang berfungsi untuk merangka segala pembaharuan dari segi undang-undang dan mengawal rasuah dalam pentadbiran. Dewan Tanzimat yang ditubuhkan ini diketuai oleh Muhammad Sadik Rifat Pasya. Walau bagaimanapun, ahli – ahli yang dipilih dalam majlis ini merupakan mereka yang berpelajaran Barat sahaja .Selain itu,dalam pembentukan kerajaan Tanzimat ini, kita dapat melihat keadaan pegawai kerajaan yang mendapat gaji yang sesuai dengan jabatannya dan peraturan rasuah juga dikuatkuasakan.

KELEMAHAN
Kedua – dua aspek iaitu pentadbiran dan ketenteraan ini dipisahkan dalam melakukan pembaharuan dan pembaikpulihan sedangkan kerajaan Turki Uthmaniyah merupakan sebuah kerajaan yang menjalankan sistem pemerintahan ketenteraan. [11]Pembaharuan dalam persidangan telah dilakukan dengan menggunakan sistem parlimen yang diambil dari Barat. Pemilihan mereka yang berpendidikan Barat sahaja. Keadaan ini meyebabkan wakil - wakil rakyat yang baru disuapkan dengan pentadbiran baru itu tidak dapat membincangkan sesuatu hal dengan menyeluruh dan terperinci dan ini seterusnya mengakibatkan mereka berdiam diri dalam persidangan yang diadakan dan orang – orang yang merancang pentadbiran negara pula ialah orang – orang Eropah yang semakin aktif pada waktu itu.[12]

KETENTERAAN
Pada masa pemerintahan Salim III baginda telah menubuhkan pasukan pemerintahan yang baru iaitu Nizam I Jedid.[13] Hal ini menunjukkan bahawa baginda telah berusaha untuk meningkatkan aspek ketenteraan bagi menguatkan pertahanan kerajaan Turki Uthmaniyyah.  Selain daripada itu juga orang awam telah diberi peluang untuk menyertai pasukan ketenteraan. Hal ini dibuktikan apabila orang awam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan rapat dengan istana akan dibenarkan untuk berkhidmat dalam bidang ketenteraan, malah anak-anak golongan rakyat terutama para penghuni-penghuni bandar diberi peluang untuk menyertai pasukan ketenteraan Uthmaniyyah.[14]
            Bidang ketenteraan merupakan bidang yang paling dititikberatkan sewaktu zaman Tanzimat. Sultan Abdul Majid juga melakukan pembaharuan dalam ketenteraan. Baginda telah membentuk polis militeri dan menghantarnya ke seluruh wilayah. Selain daripada itu baginda juga telah memanggil pakar-pakar dari Eropah bagi memberikan latihan kepada pegawai tentera.[15]Selain itu, semua rakyat telah diberi peluang untuk menyertai pasukan tentera.
PENDIDIKAN
Sistem pendidikan ini adalah dengan mewujudkan suatu aliran akademik yang jelas terpisah secara langsung daripada sebarang pengawasan pihak ulama.[16] Selain itu juga, saranan turut juga dibuat agar pengajian diadakan dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti. Walau bagaimanapun, hanya beberapa buah rushdiyeh (sekolah menengah) dan sekolah rendah yang telah ditubuhkan. Sebaliknya, penubuhan universiti diabaikan.[17]
KELEMAHAN
Ketidakterlibatan para ulama dalam bidang pendidikan jelas memperlihatkan bahawa sesungguhnya ajaran agama itu sememangnya telah dilupakan.[18] Hal sebaliknya pula yang berlaku, apabila sekularisme pula yang semakin ditekankan dan berkembang. Keadaan ini pastinya menyebabkan wujudnya ketidak seimbangan dari segi perubahan yang dilaksanakan dalam bidang pendidikan. Kebanyakannya adalah lebih dominan kepada unsur Eropah, terutamanya Perancis.[19]  Dalam keadaan ini, masa depan pelajar Muslimlah yang jelas diperjudikan. Hal ini kerana, dapat dilihat yang pengetahuan para pelajar Muslim tentang Islam kian berkurangan; seterusnya telah membawa kepada kehilangan identiti dikalangan bangsa mereka sendiri.[20]
Antara perubahan–perubahan lain yang melibatkan skop pendidikan adalah  melibatkan pembinaan sebuah maktab. Sebuah Maktab Diraja Uthmaniyyah telah dibina di Galatasary.[21] Pembinaan maktab ini jelasnya menggunakan Bahasa Perancis sepenuhnya dalam pembelajaran, kecuali dalam subjek-subjek yang berhubung terus dengan kebudayaan Turki. Perubahan sempit yang dilakukan  oleh tokoh Tanzimat adalah apabila kurikulum ala Barat jelas diaplikasikan dengan lebih serius manakala pendidikan Islam yang sepatutnya diberikan penekanan yang lebih serius, tidak diajar dengan begitu berkesan.[22]
Kemudiannya pada tahun 1860 hingga tahun 1875, banyak sekolah professional dan militer telah berkembang. Perkembangan yang berlaku ini menyebabkan  ramai pelajar madrasah yang tercicir dan seterusnya ketinggalan dalam setiap perubahan yang melibatkan bidang pendidikan.[23]


KELEMAHAN TANZIMAT  DAULAH USMANIYAH
PENURUNAN HAK DAN KEISTIMEWAAN MUSLIM
Perlaksanaan Hetti Syerif telah menyebabkan banyak unsur barat telah meresap masuk ke dalam pentadbiran dan sistem sosial Daulah Uthmaniyah. Hal demikian kerana proses tanzimat yang berlaku merupakan suatu renspon Daulah Uthmaniyah dalam menghadapi kelemahan dunia Islam dan bagi mengatasinya, pentadbiran Sultan lebih memihak kepada kebangkitan kuasa Eropah. Hal demikian menyebabkan kurangnya kuasa muslim dalam Daulah Uthamniyah. Sememangnya tanzimat bermula dengan berlakunya pengisytiharan  Hatti Syarrif Gulhane  atau juga dikenali sebagai Piagam Karpet Merah. [24] Pengisytiharan Hetti syarif ini telah dilakukan oleh  putera kepada Sultan Mahmud II iaitu Sultan Abdul Majid dimana pemerintahannya adalah dalam lingkungan 1839-1861M. Pengaruh Barat yang telah diserap masuk oleh bapanya Sultan Mahmud II sewaktu pemerintahannya telah diteruskan oleh anaknya Sultan Abdul Majid dengan melaksanakan Hatti Syerif. Pentadbiran Sultan Mahmud II dan Sultan Salim III dalam Daulah Uthmaniyah telah mula memperlihatkan satu pentadbiran negara moden dalam garisan yang telah ditetapkan.[25] Kuasa autonomi dan semi autonomi bagi dinasti dalam daerah Muslim telah dihapuskan. Hetti Syerif  telah menyebabkan berlakunya pengisytiharan Sultan dalam perubahan terhadap perundangan, undang-undang ekonomi dan pentadbiran ketenteraan kepada lebih bersifat pembaratan. Walaupun pentadbiran secara warisan dikurangkan  dimana kejayaan Sultan Abdul majid dianggap adalah melalui bapanya Mahmud II,  namun begitu, pemerintahan Sultan Abdul Majid adalah merangkumi  satu sempadan yang mempunyai kepelbagaian kaum,adat, bahasa, budaya dan warganegara yang berada di bawah satu penguasaan iaitu sebuah kerajaan.[26] Pemerintahan sultan baru dalam Eropah merangkumi penguasaan terhadap Turki, Greek, Serbia, Bulgaria, sehingga Moldavian dan Wallachians yang kemudiannya memasuki kawasan seperti Rumanian, Albanians, Bosnian,  dan Afrika.  Sistem pemerintahan millet yang diperkenalkan kepada   pada mulanya telah mendatangkan ketidakpuas hati dalam kalangan Negara bukan Islam yang berada dalam lingkungan Daulah Uthmaniyah. Permusuhan ketat turut berlaku antara Slav dan Hellene mengenai penetapan millet yang dikenakan di Rum.[27] Setiap penetapan millet merupakan satu kuasa autonomi yang lengkap bagi kuasa-kuasa pentadbiran.[28]  Kekuasaan mereka dikekalkan sepanjang hayat mereka.Sewaktu perlaksanaan Hetti syarif, perlaksaan cukai yang tinggi telah dikenakan terhadap  bukan muslim turut dikenakan sama seperti muslim. Hal demikian dilaksanakan bagi memuaskan hati penduduk yang beragama Kristian yang menuntuk hak cukai mereka yang dikenakan terlalu tinggi. Perlaksanaan cukai seperti ini telah menyebabkan berlakunya kekurangan terhadap hak keistimewaan muslim. Tambahan pula, kristian millet juga mengalami permusuhan dalam kalangan mereka, secara teologinya, ketua-ketua millet telah menentang kerajaan Turki.[29] Apabila millet telah dilantik dan memegang jawatan tersebut seumur hidup, masyarakat Muslim tidak berpeluang meluaskan kawasan mereka dan fungsi mereka dalam Daulah Uthmaniyah menjadi kurang.

PERSAMAAN HAK DAN TARAF
Di dalam isu persamaan taraf ini, dapat dikaitkan mengenai kebolehan orang Islam dalam keterlibatan pembentukan undang-undang. Sebelum perlaksanaan tanzimat, orang bukan Islam tidak diberikan hak dan campurtangan dalam pembentukan undang-undang dalam Daulah Uthmaniyah. Namun begitu, selepas tertubuhnya majlis tribunal campuran dalam Hetti Syarif,  sudah boleh , menyertai  pembentukan undang-undang Daulah Uthmaniyah. Persamaan taraf juga dapat dilihat melalui pengisyrtiharan tanzimat pertama yang mengatakan bahawa  setiap orang bebas mengemukakan dakwaan. Maka, dapat disimpulkan di sini, penerimaan sultan terhadap konsep negara bangsa atau dikenali sebagai citizen telah memberikan setiap penduduk dalam Daulah Uthmaniyah hak dan kebebasan. Bagi memastikan persamaan taraf juga Daulah Uthmaniyah telah menetapkan persamaan cukai.

KESIMPULAN
            Secara keseluruhannya, tanzimat atau pembaharuan yang dilakukan oleh penggerak Tanzimat bertujuan untuk menyelamatkan Daulah Uthmaniyah daripada diganggu dan dikuasai oleh penjajah Barat. Selain itu, pelaksanaan tanzimat ini merupakan satu langkah bagi memperkukuhkan pemerintahan pusat berpandukan fahaman perpaduan Uthmaniyah. Malangnya, dalam usaha mereka membangunkan institusi negara timbul pula masalah baru yang menggagalkan gerakan tanzimat ini. Antaranya ialah fahaman sekular yang  semakin merebak dalam masyarakat Daulah Uthmaniyah akibat terpengaruh dengan unsur-unsur barat dalam kehidupan seharian. Selain itu, peranan ahli ulama telah diketepikan dan menyebabkan umat Islam berpecah belah. Golongan penggerak tanzimat mengganggap agama Islam sebagai kolot dan perlu diubah mengikut peredaran zaman. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa golongan penggerak tanzimat melakukan pembaharuan atau reformasi secara tidak seimbang dan melihat masalah yang dihadapi oleh negara  dari sudut pemikiran yang sempit dan cetek.  

BIBLIOGRAFI
Albert Hourani. dkk.(ed)(1993).The Middle East. California: The University of California Press
Dasuki Ahmad (1978). Iktisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Edward S. Creasy (1961). History of the Ottoman Turks. London: Constable and Co. Ltd.


Eeman Mohammad Abbas (2002). Sultan Abdul Al- Hamid II dan Kejatuhan Khalilfah Islamiyah. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd

Fadhlullah Jamil (2007).  Islam di Asia Barat Moden: Penjajahan dan Pergolakan. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Harry Luke (1955).  The Old Turkey and the New from Byzantium to Ankara. London : Geoffrey Bles Ltd.

Harun Nasution (1985).  Islam Ditinjau dari Berbagai
Aspeknya Jilid I .Jakarta: UI Press.

Lois A. Aroian & Ritchard P. Mitchell. (1991). Timur Tengah dan Afrika Utara Moden. (Mohammad Redzuan Othman, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syafiq A. Mughni (1997). Sejarah Kebudayaan Islam Di Kawasan Turki. Jakarta: Logos Wacana Ilmu.





[1] Fadhullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden: Penjajahan dan Pergolakan. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd. Hlm 134.
[2] Dasuki Ahmad (1978). Iktisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 419.
[3] Lois A. Aroian & Ritchard P. Mitchell. (1991). Timur Tengah dan Afrika Utara Moden. (Mohammad Redzuan Othman, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 101.
[4] Fadhlullah Jamil(2007). Islam di Asia Barat Moden Penjajahan dan Pergolakan.Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.hlm.137
[5] Fadhlullah Jamil(2007).Islam di Asia Barat Moden Penjajahan dan Pergolakan.Shah Alam: Karisma Publications Sdn.Bhd.hlm.138
[6] Ibid.hlm.138.
[7] Fadhlullah Jamil(2007). Islam di Asia Barat Moden Penjajahan dan Pergolakan.Shah Alam: Karisma :Publications Sdn.Bhd.hlm 138.
[8] Harun Nasution(1985). Islam Ditinjau dari Berbagai Aspeknya Jilid I,  .Jakarta: UI Press hlm. 82-83
[9] Albert Hourani. dkk.(ed)(1993).The Middle East, California: The University of California Press.hlm.62-68.
[10] Fadhlullah Jamil(2007). Islam di Asia Barat Moden Penjajahan dan Pergolakan. Shah Alam: Karisma Publications Sdn.Bhd.hlm.137.
[11] Ibid, hlm. 137.
[12] Fadhlullah Jamil(2007). Islam di Asia Barat Moden Penjajahan dan Pergolakan. Shah Alam: Karisma Publications Sdn.Bhd. hlm 133.
[13] Dr. Syafiq A. Mughni. 1997. Sejarah Kebudayaan Islam Di Kawasan Turki. Jakarta: Logos Wacana Ilmu. Hlm 65
[14] Fadhlullah Jamil. 2007. Islam Di Asia Barat Moden Penjajahan Dan Pergolakan. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd. Hlm 142
[15] Ibid, hlm 146
[16] Ibid,hlm 139
[17] Ibid
[18] Fadhlullah Jamil,(2007). Islam di Asia Barat:Penjajahan Dan Pergolakkan. Shah alam:karisma Publication hlm 139
[19] Dr. Syafiq A. Mughni. Sejarah Kebudayaan Islam di Kawasan Turki. Jakarta: Logos Wacana Ilmu. 1997. Halaman 129.
[20] Fadhlullah Jamil, (2007) Islam di Asia Barat Moden: Penjajahan dan Pergolakkan. Shah Alam:Karisma Publucations sdn.Bhd hlm 139
[21] Fadhlullah Jamil, Islam di Asia Barat Moden : Penjajahan dan Pergolakan. Shah Alam: Karisma Publication
  Sdn. Bhd., 2007, hlm. 139
[22] ibid
[23] ibid
[24] Fadhlullah Jamil (2007). Islam di Asia Barat Moden. Shah Alam : Karisma Publications. Hlm 136.
[25] Sir Harry Luke (1955). The Old Turkey and the New from Byzantium to Ankara. London : Geoffrey Bles Ltd. Hlm 44.                                                                                          1
[26] Sir Harry Luke (1955). The Old Turkey and the New from Byzantium to Ankara. London: Geoffrey Bles Ltd. Hlm 44.
[27] Ibid. hlm 46.
[28] Edward S. Creasy (1961). History of the Ottoman Turks. London: Constable and Co. Ltd. Hlm 290.
[29] Ibid.